Bahaya Meninggalkan Ajaran Al-Quran

Wahai hamba-hamba Allah !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. 

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 89 surah an-Nahl :  

“..Dan Kami telah turunkan kepada engkau (wahai Muhammad) al-Quran sebagai penjelas setiap sesuatu sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira bagi orang-orang beriman. 

Sempena kita berada pada fasa ketiga bulan Ramadhan yang dijanjikan dengan pembebasan daripada api neraka bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan, marilah kita mengambil  peluang sebaik mungkin secara terus menerus dalam menghidupkan Ramadhan dengan amal ibadat seperti bersedekah, menjamu orang berbuka puasa, tadarrus al-Quran, solat terawih, qiamullail dan sebagainya.  

Sempena berada pada bulan Ramadhan yang dibuka seluasnya pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka, diganda pahala, diampunkan dosa, dimakbul doa, dirantai  segala syaitan derhaka ditambah pula dengan ada pada salah suatu malamnya  laillatul qadar di mana kelebihan beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan mestilah sama-sama kita rebut bukan setakat disebut dimulut tanpa berusaha menghidupkannya.  

Mimbar hari ini menyeru umat Islam agar terus mengimarahkan masjid-masjid, beriktikaf dan berqiyamullail pada 10 malam terakhir mencari malam al-qadar seperti yang dijanjikan oleh Allah swt. 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan: 

Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai” 

Sempena berada pada bulan Ramadhan, bulan  turunnya al-Quran maka kita bukan sahaja mesti bersungguh dalam membaca al-Quran tetapi apa yang paling penting ialah mengamal dan melaksanakan segala ajaran al-Quran. Kita mestilah berusaha menghindari sikap golongan yang  menjauhi al-Quran.  Para ulama’ mengatakan bahawa 5 jenis manusia yang dianggap menjauhi al-Quran ialah apabila : 

[1] dia tidak mahu mendengar dan beriman kepada al-Quran 

[2] dia hanya beriman dan membaca al-Quran sahaja tetapi tidak mengamalkan isi kandungannya

[3] dia enggan mendalami dan memahami maksud al-Quran

[4] dia tidak menjadikan al-Quran sebagi penyembuh terhadap pelbagai penyakit hati

[5] dia tidak mahu menggunakan hukum al-Quran dalam kehidupan seharian 

Kita mesti ingat bahawa musuh Islam sentiasa berusaha siang dan malam dalam menjauhkan umat Islam daripada al-Quran. Lihatlah apa yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini di mana betapa ramai umat Islam yang buta al-Quran dan agama.  

Ketika ramai umat Islam yang tidak pandai membaca al-Quran maka musuh-musuh Islam mengambil peluang dengan menyebar terjemahan Bible dalam Bahasa Melayu dan Al-kitab dalam Bahasa Arab bukan sahaja melalui internet malah secara luaran. Jika sebelum ini, mereka telah lama meletakkan Bible di bilik-bilik hotel dalam menyebar ajaran mereka.  

Begitu juga dengan penyebaran risalah-risalah atau cd-cd dakyah secara percuma yang memuatkan kisah yang bertentangan dengan kepercayaan orang Islam di beberapa tempat tertentu. Apabila musuh Islam sedang giat bergerak adakah kita hanya mampu melihat. Bangkitlah umat Islam!.  Firman Allah dalam ayat 26 surah al-Fussilat : 

“Dan berkatalah orang-orang kafir itu : “ Janganlah kamu mendengar al-Quran itu dengan bersungguh-sungguh. Buatlah hiruk pikuk terhadapnya agar kalian dapat mengalahkan orang-orang yang beriman” 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Rasulullah s.a.w telah berpesan tentang cara terbaik bagi menyelamatlkan diri daripada kekacauan dan bala bencana yang besar iaitu berpegang teguh dengan al-Quran. Baginda turut menyatakan keistimewaan al-Quran antaranya ialah : 

[1] al-Quran menjadi pemutus antara yang hak dan batil bukannya keterangan yang olok-olok 

[2] Golongan sombong dan angkuh yang meninggalkan al-Quran akan dibinasakan dan sesiapa yang mencari petunjuk selain al-Quran akan disesatkan oleh Allah

[3] Al-Quran merupakan tali Allah yang teguh kukuh dan jalan yang lurus. Berpegang teguh kepada ajarannya maka hawa nafsu tidak akan menyeleweng atau terpesong

[4] Kalimah-kalimah al-Quran tidak akan bercampur aduk atau kesamaran dengan kata-kata makhluk sehingga para ulama’ tidak merasa jemu daripada mengkaji isi kandungannya

[5] Keindahan, kemanisan dan kelazatan membaca al-Quran tidak akan susut dan hilang sekalipun ia dibaca berulangkali

[6] Kandungannya yang menakjubkan tidak berkesudahan

[7] sesiapa yang memperkatakan sesuatu berdasarkan al-Quran maka benarlah perkataannya.

[8] Sesiapa yang beramal dengan ajaran al-Quran maka dianugerahkan pahala.

[9] Sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hakam al-Quran maka adillah keputusannya.

[10] Sesiapa yang berdakwah supaya orang  ramai menuruti ajaran al-Quran sudah tentu dia dan mereka akan beroleh hidayah petunjuk ke jalan yang lurus. 

Kita mesti ingat bahawa kita sekarang ini berada zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian terhadap iman kita. Oleh itu rapatkan diri kita dengan al-Quran  dari segi pembacaan dan pengamalannya. Tiada ubat yang paling mujarab dalam mengubati penyakit hati dan anggota zahir melainkan al-Quran.  

Umat Islam punah aqidahnya dan musnah akhlaknya bila jauh daripada ajaran al-Quran. Musuh Islam telah lama sedar dan tahu bahawa apabila umat Islam menjauhi al-Quran maka penjajahan terhadap pemikiran dan sistem kehidupan umat Islam akan terus berlangsung dengan mudah.  

Sebaliknya jika umat Islam kembali sedar seterusnya berusaha bersungguh-sungguh dalam mengembalikan pelaksanaan al-Quran dalam kehidupan maka sebarang sistem yang bercanggah dengan Islam akan terhapus serta umat Islam kembali memiliki jatidiri sebagai umat yang memperolehi kemerdekaan yang hakiki.  

Apabila hati jauh daripada siraman al-Quran menyebabkan umat Islam mencari perkara yang bercanggah daripada Islam bagi menenangkan hati yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam terlibat dengan najis dadah, arak serta hiburan melampau yang merupakan antara senjata musuh Islam dalam merosakkan umat Islam. 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Musuh Islam juga terus berusaha dalam menjauhkan umat Islam daripada masjid serta mengurangkan peranan masjid. Musuh Islam tahu bahawa jika umat Islam semakin jinak dengan masjid dan pelbagai program berjaya disusun dalam menghidupkan kembali peranan masjid maka akan melahirkan umat yang akan melaksanakan al-Quran serta mengenepikan segala sistem ciptaan kuffar. Jika ini berlaku bermakna penguasaan kuffar ke atas umat Islam semakin lama semakin lemah dan akhirnya umat Islam akan kembali menguasai dunia sebagaimana yang pernah dicapai dan dikecapi oleh beberapa generasi umat Islam sebelum ini.  

Umat Islam adalah golongan majoriti tetapi kebanyakan kita terjajah dan mundur dalam negara sendiri dari segi pembangunan kebendaan dan modal insan. Umat Islam lemah bukan sahaja kerana malas dan tidak tahu membaca al-Quran tetapi juga kerana tidak mengamalkan saranan dan arahan yang telah ditunjukkan oleh Allah melalui al-Quran.  

Umat Islam tidak menghasilkan ilmu, gagal menyebar dan memanfaatkan ilmu sehingga kita gagal menguasai pendidikan. Mundurnya umat Islam bila lemah ulama’nya. Dalam masa yang sama masyarakat ditimpa penyakit jahil serta malas yang merbahaya. Ubahlah sikap kita kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa sehingga mereka sendiri bangun mengubah apa yang ada pad diri mereka.          

Firman Allah dalam  ayat 71 surah al-Mukminun : 

“Dan sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu. 

Khutbah Jumaat 13 Okt 2006 (untuk JHEAINS)

Leave a comment »

Hidangan Ruh Dan Jasad Dalam Bulan Ramadhan

Muslimin Muslimat yang dikasihi Allah, 

Kita telah beberapa hari menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak, bulan kurnia Allah swt kepada  orang-orang yang beriman. Apabila tibanya bulan Ramadhan, Rasulullah saw menyampaikan ucapan :  

“Telah tiba kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang mulia. Pada bulan itu terdapat satu malam yang mempunyai kelebihan lebih baik dari 1000 bulan. Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan daripada Allah dan akhirnya pelepasan dari api neraka.” 

Bulan kita dijemput menjadi tetamu Allah swt untuk menghadiri majlis hidanganNya. Hidangan yang disediakan kepada kita – makanan ruh dan makanan jasad. Kerana Allah swt menjadikan manusia dengan 2 fitrah, 2 naluri dan 2 sifat iaitu unsur ruh dan jasad. Kedua-dua unsur ini memerlukan makanan. 

Maka Allah swt menghidangkan pada bulan Ramadhan ini makanan ruh dan makanan jasad, yang penuh dengan kelebihan. Makanan ruh ialah iman, ilmu, taqwa dan segala akhlak yang mulia. Makanan jasad ialah makan minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. 

Allah swt telah menentukan tugas manusia yang berbeza dengan tugas malaikat yang berada di alam ruh; dan berbeza dengan binatang yang hanya menjaga kepentingan jasad. Manakala manusia mempunyai kedua-dua unsur – unsur malaikat dan unsur binatang tetapi dengan cara yang berbeza. 

Sekiranya manusia memenuhkan makanan ruh dan menunaikan tuntutan ruh dengan sebenarnya, dalam masa yang sama berjaya menghadapi hawa nafsu kebinatangan yang ada di dalam dirinya, seperti para nabi dan rasul as. Maka mereka menjadi makhluk yang lebih mulia dari para malaikat. 

Dan di sana ada golongan manusia yang lupa makanan ruh, dan mengendalikan jasadnya seperti binatang. Maka manusia seperti ini lebih jahat dari binatang. 

Allah swt melatih, mendidik, memberi ilmu dan tarbiyyah kepada kita pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini dengan hidangan menunaikan kewajiban berpuasa pada siang hari, memberi sedeqah dan menjamu makanan kepada saudara mara,  sahabat handai, jiran dan orang-orang yang memerlukan pertolongan. Diisi dengan ibadah-ibadah yang lain, menghidupkan malam dengan solat tarawih, bertadarrus al-Quran, bertahajjud dan lain-lain. Dijanjikan dengan fadhilatnya yang lebih besar yang dilakukan pada luar Ramadhan. 

Ibadah puasa sahaja dijanjikan oleh Allah swt dengan pahala yang tidak terhingga banyaknya. Setiap amal manusia yang melakukan kebaikan, diberi setiap satu amal kebajikan itu dengan 10 kali ganda pahalanya.  Adapun berkenaan puasa, Allah berfirman : 

“Sesungguhnya puasa itu untukKu dan Akulah yang akan membalasnya“ 

Menunjukkan betapa besarnya kurnia Allah swt kepada orang-orang yang berpuasa.  Betapa ruginya  orang-orang yang meninggalkan puasa. Sesiapa yang tidak berpuasa 1 hari, tanpa ada sebab keuzuran yang membolehkan ia meninggalkan puasa, dari sudut nilainya, dia tidak akan dapat mengganti pahala puasanya yang ditinggalkannya sehari itu, walaupun dia berpuasa sepanjang umurnya. 

Marilah kita menunaikan puasa ini dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang diwajibkan kepada kita beserta dengan adab-adab yang menambahkan fadhilatnya. Supaya kita menyedari bahawa puasa itu bukan sekadar untuk menjaga diri tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa pada siang hari – tidak makan, tidak minum, tidak bersetubuh dengan isteri, tidak memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka.  

Bahkan seseorang itu juga hendaklah memelihara dirinya dari perkara-perkara yang menghilangkan pahala puasa walaupun tidak membatalkan puasanya. Memelihara anggota dan pancainderanya dari melakukan perkara-perkara dosa, memelihara lidah, memelihara mata dan segala anggota-anggota lainnya. Itulah pendidikan puasa yang merupakan makanan ruhani yang dihidangkan oleh Allah swt pada bulan Ramadhan.  

Kita juga dijanjikan dengan fadhilat diberikan pahala pada makanan jasad. Kita makan dan minum ketika berbuka puasa, bukan sahaja kita kenyang dan hilang dahaga tetapi kita diberi pahala. Kita makan pada waktu sahur yang mendatangkan pahala. Allah swt menjanjikan fadhilat kepada orang yang makan sahur. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah saw : 

“Sesungguhnya Allah swt dan para malaikatNya memberi salawat kepada orang-orang yang bersahur”. 

Menunjukkan bahawa bukan sahaja ibadah puasa diberi pahala tetapi makan minum kita menjelang berbuka dan bersahur diberi pahala oleh Allah swt. 

Inilah antara keistimewaan yang terdapat di dalam ibadah Ramadhan disamping keistimewaan-keistimewaan lain. Marilah kita mengambil keistimewaan itu, supaya kita mencapai natijah puasa yang baik, hidangan yang disediakan oleh Allah swt. 

Kita menerima kelebihan rahmat pada permulaan Ramadhan, mendapat keampunan pada pertengahannya dan dimerdekakan dari api neraka sesudah kita meninggal dunia sekiranya kita menunaikan puasa sebaik-baiknya.  

Khutbah Jumaat pada 29 Sept. 2006 (untuk JHEAINS)

Leave a comment »

Palestin Dan Isu Kelesuan Umat Islam

Saudara-saudara muslimin,

Beberapa hari yang lalu, kita baru sahaja menyambut dan mengingati peristiwa al-Isra Wal Mi’raj yang berlaku pada 27 Rajab, tahun ke 11 kerasulan. Peristiwa Allah swt memuliakan RasulNya, Muhammad saw, menjadi tetamuNya untuk melihat kebesaran Allah swt. Peristiwa yang menemukan Rasulullah saw dengan para Nabi as di Baitul Maqdis, kiblat pertama umat Islam, salah satu tanah suci umat Islam. 

Al-Isra wal mikraj adalah peristiwa yang mempunyai pengajaran-pengajaran dan iktibar kepada umat Islam sepanjang zaman. Di antara pengajaran yang terdapat di dalam peristiwa ini ialah ianya suatu pengisytiharan daripada Allah swt kepada Rasulullah saw bahawa sesungguhnya Allah swt akan mengurniakan kemenangan kepada Rasulullah saw.  

Ianya berlaku tatkala Rasulullah saw dan para sahabatnya diuji dengan pelbagai kekerasan dan kekejaman yang dilakukan oleh puak-puak yang musyrikin dan musuh-musuh Islam. 

Kaum muslimin,

Pada saat ini, jangan kita lupa bahawa Tanah Suci Palestin yang terletak Baitul Maqdis di dalamnya telah dinodai oleh Yahudi yang menjadi musuh utama umat Islam. 

Allah swt telah menimpakan bencananya kepada umat Islam apabila mereka meninggalkan ajaran Islam. Mereka mencari kemuliaan, kemajuan, keselesaan yang lain daripada Islam.  Mereka lupa kepada wasiat Sayydina Umar al Khattab yang menyaksikan penyerahan Kota Suci Baitul Maqdis. Amirul Mu’minin Umar Ibn Khattab ra menyampaikan wasiatnya yang masyhur di antaranya menyebut : 

“Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada Islam, nescaya kita akan menerima penghinaan daripada Allah swt.” 

Inilah bencana yang menimpa umat Islam hari ini. Ketika jumlah umat Islam 1.3 bilion di seruruh pelusuk dunia. Jumlah yang sangat besar. Dikurniakan oleh Allah swt muka bumi yang terbaik, diberi hasil kekayaan yang melimpah ruah.

Semua kemewahan dan kekayaan itu tidak memberi faedah kepada umat Islam apabila mereka meninggalkan ajaran Islam. Mereka merungkai kewajiban menegakkan negara Islam, mereka melakukan apa yang telah diberi amaran oleh Rasulullah saw : 

“Tali yang mengikat ajaran islam dirombak satu demi satu. Apabila satu tali yang mengikat ajaran islam itu dirombak, orang ramai berpegang dengan simpulan yang masih ada. Ikatan simpulan pertama yang dirombak ialah al hukmu iaitu perkara yang berkait tentang pemerintahan islam. Dan perkara terakhir yang dirungkai ialah sembahyang.” 

Di hadapan kita kini, umat Islam diratah oleh musuh-musuh Islam. Umat Islam di Palestin menjadi mangsa kezaliman. Mereka yang menubuhkan kerajaan Islam yang mendaulatkan syariat Islam. Mereka kini dikepong oleh Yahudi laknatullah, pemimpin dan menteri-menteri mereka ditangkap. 

Bandar-bandar utama dikepong dan sudah ramai yang mati dibunuh. Umat islam Palestin bangkit menentang Yahudi dengan senjata-senjata ringan buatan sendiri dan mereka tidak menyerah kalah. 

Dalam masa yang sama, kumpulan Islam di Selatan Lubnan, kumpulan Hizbullah, bukan sebuah kerajaan tetapi parti yang menegakkan Islam, berusaha untuk membantu saudara-saudara mereka di Palestin. Lubnan dikepung dari udara, laut dan darat.  

Kita melihat beberapa minggu lepas, Hizbullah berjaya menghalang kemaraan tentera Israel Yahudi walaupun mereka tidak mempunyai senjata canggih tetapi dengan senjata iman yang ada di dalam hati mereka, hizbullah berjaya mengalahkan tentera Yahudi Israel yang mempunyai senjata yang canggih dan mahal. 

Jangan kita hairan terhadap Yahudi Israel yang melakukan kekejaman ini. Mereka membunuh orang tua, kanak-kanak dan perempuan. Bangsa mereka ini jugalah yang pernah membunuh para nabi as. 

Bahkan ulama-ulama’ Yahudi pada hari ini memberi fatwa membenarkan tenteranya membunuh siapa sahaja tanpa mengira siapa kerana bangsa lain adalah haiwan dan binatang terutama Islam tetapi Allah swt cahaya Agama Islam dipadamkan. Tetap ada yang akan mempertahankan Islam. Benarlah sabda Rasulullah saw : 

“Akan tetap ada satu kumpulan di kalangan umat aku, mereka bangun berdiri dengan berani menzahirkan perkara agama ini, mereka tidak boleh dilemahkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingganya datang urusan Allah. Para sahabat bertanya, siapakah golongan itu ya Rasulullah? Baginda menjawab : mereka ialah penduduk Baitul Maqdis dan yang berada di keliling Baitul Maqdis“. 

Hari ini telah zahir umat itu yang diceritakan oleh hadith tersebut, juga zahir juga golongan yang menentang mereka.  Kita melihat kebangkitan kumpulan Hamas di Palestin dan Hizbullah di Lubnan didukung oleh kumpulan Islam yang lain. 

Media-media barat menggambarkan kumpulan-kumpulan Islam ini sebagai pengganas kerana mahu menegakkan kalimah Allah swt. Negara umat Islam membisu, tidak membantu umat Islam yang diserang. Rasululah saw pernah mengatakan bahawa ia berlaku kerana umat Islam ditimpa penyakit al-wahn iaitu cintakan dunia dan bencikan mati. 

Kaum muslimin,

Marilah kita sama-sama mendengar seruan Allah swt di dalam al-Quranul Karim : 

“Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah ditindas dari kalangan lelaki, wanita maupun anak-anak, mereka merayu serta merintih: “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri  yang penduduknya melakukan kezaliman ke atas kami kerana kami menjadi orang-orang  yang beriman. Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong yang menyelamatkan kami dari kezaliman!”  (an-Nisa : 75) 

Rasulullah saw dan para sahabatnya menyahut seruan Allah swt bagi menyelamatkan orang-orang beriman yang masih tinggal di Makkah yang tidak mampu berhijrah walaupun ketika itu orang-orang Islam sedikit. Mereka dilihat lemah pada zahirnya, tetapi mempunyai iman yang kuat, keyakinan dan kepercayaan kepada Allah swt bahawa Allah swt pasti menunaikan janjiNya bagi menolong orang-orang beriman yang berjuang menengakkan agamaNya. 

Walaupun berdepan dengan golongan-golongan musuh Islam yang lebih kuat pada zahirnya, lebih ramai bilangan mereka, lebih banyak senjata dan harta yang ada pada mereka, mereka yang kaya iman ini bangkit menegakkan agama Allah menentang musuh-musuh Allah, menyelamatkan orang-orang beriman yang ditindas. 

Justeru itu, Khalifah Abu Bakar ra ketika dilantik menjadi khalifah menegaskan dalam ucapannya : 

“Dan tiadalah sesuatu kaum di kalangan umat Islam yang meninggalkan jihad melainkan Allah akan menimpakan bala dan dihinggapi kehinaan dan perkara yang buruk” 

Oleh kerana itu, pemerintah Islam yang masih berpegang kepada Islam pada zaman masing-masing tidak meninggalkan kewajipan berjihad. 

Marilah kita melihat peristiwa yang berlaku di akhir kerajaan Abbasiyyah dibawah pemerintahan khalifah al-Mu’tasim. 

Apabila seorang perempuan Islam yang berniaga di negeri bukan Islam, ketika berada di pasarnya, tergelincir jatuh lalu tersingkap pakaiannya dan mendedahkan auratnya. Perempuan itu telah disorak dan diejek oleh orang-orang bukan Islam. Ia dihina di khalayak ramai kerana menutup aurat dan auratnya terbuka. Tiba-tiba perempuan itu merayu :

“Wahai Khalifah Mu’tasim! Selamatkan daku!“  

Orang-orang yang bukan Islam itu lebih kuat menyorak dan menghinanya. Seorang lelaki muslim berada di tempat itu, lalu bermusafir ke Baghdad dan menghadap Khalifah Muktasim memberitahu hal itu. Khalifah muktasim bangun berdiri dan terus menjawab : 

“Wahai ibu! Ini khalifah Muktasim mendengar seruanmu.”

Lalu baginda mengerahkan bala tenteranya untuk menyerang negeri itu kerana menghina seorang perempuan Islam. 

Umat Islam yang tidak peduli apa yang berlaku kepada saudara mereka pada hari ini, sebenarnya alpa dengan amaran Rasulullah saw : 

“Bukan daripada golongan kami, sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang Islam“ 

Maka berwaspadalah kita, jangan termasuk dalam golongan ini.  

Kaum muslimin,

Walaubagaimanapun, Allah swt mengingatkan bahawa Islam tidak akan dapat dihapuskan di atas muka bumi ini. Firman Allah :  

“Wahai orang-orang beriman! Sesiapa yang murtad di kalangan kamu daripada agamanya, nescaya Allah akan mendatangkan golongan yang mempertahankan Islam, Allah mengasihi mereka, dan mereka kasihkan Allah. Mereka merendahkan diri kepada orang-orang yang beriman dan bersikap keras kepada orang-orang kafir, mereka berjihad di jalan Allah dan mereka tidak memperdulikan celaan orang yang mencela. Itulah kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendaki di kalangan hambaNya, sesungguhnya Allah itu maha luas kurniaNya lagi maha mengetahui. Sesungguhnya yang menjadi wali kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka rukuk iaitu patuh kepada Allah swt. Dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang beriman, maka sesungguhnya golongan Allah itulah yang akan mendapat kemenangan”.  (an-Nisa : 58) 

Dibaca pada 25 Ogos 2006 (Masjid Jamek Layang-Layangan, WP Labuan) 

Leave a comment »

Kembali Kepada Allah

Saudara-Saudara Muslimin,

Marilah kita mendengar, merenung dan memahami peringatan daripada Allah swt melalui firmanNya :

”Dan sesiapa yang berpaling dari peringatanKu, maka baginya kehidupan yang pincang. Dan Kami himpunkannya pada hari kiamat nanti dalam keadaan buta.  Lalu dia berkata : Wahai Tuhan!  Mengapa Engkau bangkitkan aku dalam keadaan buta? Padahal dulu aku dalam kehidupan dunia dapat melihat. Allah berfirman : demikianlah telah datang peringatanKu, maka kamu melupakannya. Maka pada hari ini, kamu dilupakan”. (Toha : 124-126) 

Saudara-saudara,

Maka kepada umat Islam, sepatutnya mereka menyedari yang dimaksudkan peringatan Allah ialah Al-Quran, yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw, yang menjadi petunjuk kepada manusia dalam seluruh perjalanan hidup di dunia ini sehingga mereka menemui Allah swt. 

Hari ini kita melihat umat Islam berada dalam kehidupan yang pincang. Kehidupan yang tidak betul. Umat Islam dilanda oleh kelemahan aqidah, bahkan ada yang telah musnah; murtad, keluar dari agama Islam. 

Ada di antara mereka yang menghadapi masalah keruntuhan akhlak, menghilangkan akal fikiran dengan menggunakan arak, dadah dan bahan-bahan yang memabukkan. Berlakunya kemusnahan dalam keluarga sendiri, hubungan yang tidak baik di antara satu dengan yang lain. Tersebarnya maksiat-maksiat. Berlakunya jenayah yang meluas. Kezaliman antara satu sama lain. Kehidupan yang perit dan susah. 

Saudara-saudara kaum muslimin,

Para ulama tafsir menyatakan bahawa kehidupan yang pincang itu boleh berlaku walaupun dalam keadaan mereka mempunyai harta benda, nikmat yang diberi oleh Allah swt. Para ulama tafsir menyatakan bahawa kehidupan yang pincang itu boleh berlaku walaupun dalam keadaan mereka mempunyai harta benda, nikmat yang diberi oleh Allah swt. 

Apabila mereka tidak mengikut petunjuk daripada Allah swt, tidak memperdulikan peringatan yang terdapat di dalam Al-Quran. Segala kekayaan yang melimpah ruah tidak ada erti dan tidak ada makna. Mereka terus berada dalam kehidupan yang pincang. 

Bukan sahaja mengalami masalah-masalah yang zahir, bahkan hati-hati mereka dalam keadaan keluh kesah. Apa yang menyedihkan, umat Islam yang berada dalam keadaan yang pincang itu telah melihat kemusnahan yang dialami pelbagai bangsa di dunia ini yang menganut pelbagai idealogi ciptaan manusia. Mereka tidak memperdulikan petunjuk daripada Allah swt. 

Kaum muslimin sekalian,

Para ulama menegaskan bahawa, mereka itu bukan sahaja mengalami kepincangan dan kesusahan dalam kehidupan dunia. Sebaik sahaja mereka ditanam di dalam kubur, mereka bertemu dengan kesempitan di dalam kubur; di alam barzakh. Bagi umat Islam wajib beriman dan percaya bahawa di sana ada persoalan-persoalan dan perkara yang akan dihadapi. 

Sekiranya seseorang itu tidak menyelesaikan masalahnya di dunia ini dengan petunjuk Allah, nescaya dia menghadapi kesempitan di dalam kuburnya. Menghadapi fitnah di dalam kubur, menghadapi ujian di dalam kubur. Di seksa dengan pelbagai seksaan bersama-sama dengan malaikat azab, bersama-sama dengan ular dan kala yang menyeksanya. Penyeksaan itu ialah kerana amalnya dalam kehidupan dunia ini. 

Setelah dibangkitkan menghadapi alam akhirat yang lebih besar di dataran mahsyar. Berhadapan masalah yang lebih besar. Puncanya ialah kerana sesat dalam kehidupan dunia. Maka ia akan jelas dalam kehidupan akhirat nanti. 

Saudara-saudara,

Marilah kita menghisab diri sebelum nyawa kita dicabut, sebelum dikambus di dalam kubur. Masa yang tidak ada peluang lagi untuk kita berpaling dan kembali lagi ke dunia ini kerana Allah swt telah menutup pintu taubat. Apabila nyawa sampai ke halqum. Apabila matahari naik dari arah barat. Marilah kita jadikan kejahatan-kejahatan yang berlaku di dunia ini, merupakan seksaan Allah dalam kehidupan dunia ini. Sama ada melalui bala bencana, wabak penyakit, yang pelbagai jenis namanya, yang melanda seluruh dunia hari ini, memeningkan pakar perubatan untuk mengubatinya. 

Penyakit aids, angkara manusia sendiri. Penyakit selsema burung, yang dibawa oleh binatang-binatang yang merupakan bala tentera Allah yang dihantar untuk menghukum manusia.  Kezaliman yang dilakukan satu sama lain, kenaikan harga barang-barang merupakan kerja yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri.  

Inilah hukuman Allah dan seksanya dalam kehidupan dunia, apabila manusia lari daripada petunjuk Allah swt yang terkandung di dalam Al-Quran. Apabila manusia mencari petunjuk lain daripada Allah, Tuhan yang menjadikan seluruh alam. Termasuk di kalangan alam itu ialah manusia. Bagi orang Islam mereka memuji Allah pada setiap rakaat di dalam sembahyang. Alhamdulillahi rabbil ‘alamin. Segala puji  bagi Allah, Tuhan sekalian alam. 

Dengan maksud Tuhan yang menjadikan alam. Tuhan yang mengurus dan mentadbir alam. Di antara alam itu ialah manusia. Apabila manusia mengadakan peraturan sendiri, mengadakan undang-undang sendiri, mengadakan hukum sendiri, mereka-reka cara hidup sendiri, bermakna manusia telah derhaka kepada Allah swt. 

Maka wajar manusia menerima hukuman itu daripada Allah swt, sama ada di dalam kehidupan dunia ini, di alam kubur dan alam akhirat. 

Saudara-saudara,

Marilah kita menggunakan cahaya iman yang masih ada di dalam hati ini, menyuluh perjalanan hidup kita sebelum bertemu Allah swt. Supaya kita menilai dan merenung, perkara-perkata yang berlaku di hadapan kita itu, adakah menepati perintah Allah, atau derhaka kepada Allah. 

Sekiranya kita telah melakukan kesilapan, marilah kembali ke pangkal jalan. Bertaubat, memohon keampunan daripada Allah swt. Tuhan yang Maha Pengampun. Tuhan yang Maha Penerima Taubat lagi kasih kepada hambaNya. Disebut dalam hadith-hadith qudsi, bahawa Allah swt menyegerakan keampunan kepada hamba-hambaNya yang bertaubat. Lebih segera dari hambaNya itu melafazkan taubatnya. Sekiranya seseorang hamba itu datang menghadap Allah dalam keadaan sedar dan insaf, dalam keadaan dosa sepenuh bumi, Allah akan datang memberi keampunan dengan sepenuh bumi. Selagi nyawa belum sampai ke halqum. Selagi matahari belum naik dari arah barat. 

Sesungguhnya bencana alam, gempa bumi di sana sini, ribut taufan yang melanda negara-negara dunia, cuaca yang panas terik, menyebabkan kemarah dalam dunia di beberapa negara, yang telah mengorbankan manusia dan binatang. Banjir-banjir yang meragut nyawa dan harta benda. Itu semua merupakan amaran-amaran daripada Allah swt. 

Marilah kita sedar dan insaf dengan berpandukan iman dan seterusnya memohon hidayah daripada Allah swt. Supaya kita selamat di dunia dan akhirat.

”Maka apakah orang yang berjalan terlungkup di atas mukanya itu lebih banyak mendapatkan petunjuk ataukah orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus? Katakanlah: “Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati”. (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. Katakanlah : “Dialah yang menjadikan kamu berkembang biak di muka bumi, dan Hanya kepadaNyalah kamu kelak dikumpulkan. Dan mereka berkata: “Bilakah datangnya ancaman itu jika kamu adalah orang-orang yang benar?” Katakanlah: “Sesungguhnya ilmu (tentang hari kiamat itu) Hanya pada sisi Allah. dan Sesungguhnya Aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang menjelaskan”. Ketika mereka melihat azab (pada hari kiamat) sudah dekat, muka orang-orang kafir itu menjadi muram, dan dikatakan (kepada mereka) inilah (azab) yang dahulunya kamu selalu meminta-mintanya. Katakanlah : “Terangkanlah kepadaku jika Allah mematikan Aku dan orang-orang yang bersama dengan Aku atau memberi rahmat kepada kami, (maka kami akan masuk syurga), tetapi siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari siksa yang pedih?” Katakanlah: “Dialah Allah yang Maha Penyayang kami beriman kepadaNya dan kepadaNyalah kami bertawakkal. kelak kamu akan mengetahui siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata”. Katakanlah : “Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering; Maka siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir bagimu?”. (al-Mulk : 22-30)

Dibaca pada 24 Mac 2006 (Masjid as-Sobirin, Kg Sipanggil, Putatan)

Leave a comment »

Budaya Mendekati Zina

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhannya. ( iaitu jangan mengambil separuh-separuh ), dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu” 

Kaum Muslimin rahimakumullah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah, seterusnya menilai jati diri muslim dan mu’min yang ada di dalam diri kita. 

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah. Dan hendaklah setiap diri merenung perkara yang akan ditempuhinya esok hari. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang kamu lakukan” 

Muslimin rahimakumullah,

Khutbah hari ini berhasrat mengajak hadirin untuk merenung satu gejala atau tabiat yang berlaku dalam masyarakat kita. Budaya yang dimaksudkan ialah budaya taqrabuz zina atau budaya menghampiri zina. 

Kebanyakan umat Islam menganggap perzinaan itu adalah semata-mata melakukan persetubuhan haram dan inilah perbuatan maksiat yang dilarang keras dan merupakan satu daripada dosa-dosa besar. Sebenarnya, dalam agama Islam, bukan perbuatan zina itu saja yang dilarang keras, tetapi termasuk juga sebarang tindak-tanduk yang membawa kepada berlakunya perbuatan yang terkutuk itu, iaitu sebarang perlakuan ke arah menghampiri zina yang disebut sebagai “budaya taqrabuz-zina”.  

Hal ini disebut dengan jelas dalam firman Allah :

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan”  (Surah al-Israk: 32). 

Takrif “zina” itu luas, meliputi banyak aspek perlakuan. Rasulullah s.a.w memperincikannya sebagaimana dalam sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud :  

“Zina kedua mata itu memandang, zina kedua telinga itu mendengar, zina kedua tangan itu menjabat, zina kedua kaki itu melangkah dan zina hati itu mengingini, mengangan-angankannya”  ( Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Demikianlah saudara-saudara, semua perlakuan dalam pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang sudah akil baligh dan bukan mahram itu, sama ada zahir atau batin, dikira perbuatan zina belaka. Apatah lagi perhubungan fizikal yang lebih rapat (bercumbu-cumbuan, berpeluk-pelukan, berkepitan-kepiitan atau berhimpit-himpitan), tambahan lagi dalam keadaan aurat yang terdedah. Bila sudah berdua-duan, pastinya yang ketiga itu adalah syaitan. 

Berdasarkan  maksud hadis yang disebutkan tadi, jelaslah, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram itu sudah dikira perbuatan zina atau sekurang-kurangnya termasuk dalam kegiatan “budaya taqrabuz-zina”.  

Kaum muslimin,

Dalam agama Islam, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan ajnabi itu dilarang keras. Kerana, segala tindak-tanduk dalam pergaulan bebas itu membuka peluang atau menimbulkan dorongan dan memberi laluan mudah kepada mereka yang terlibat melakukan mukadimah zina dan seterusnya melakukan kemuncak perbuatan yang terkutuk itu.  

Mesti diambil perhatian bahawa larangan melakukan tindak-tanduk yang membawa kepada zina itu bukan sahaja khusus ditujukan kepada pasangan yang berkenaan, tetapi termasuk juga orang lain yang terbabit (bersyubahat).  

Ramai orang tidak sedar, bahawa mereka turut terlibat dalam melakukan perbuatan menghampiri zina itu. Di kalangan kita, masih ramai ibu dan bapa yang sengaja – kononnya berlagak sporting – memberi peluang kepada anak gadis mereka berdua-duaan dengan teman lelakinya.  

Ada-ada sahaja helah ibu bapa untuk tidak mengganggu anak gadis mereka yang berdua-duaan, berbual-bual mesra dengan teman lelakinya. Umpamanya, si ibu masuk ke dapur, si bapa kononnya ada-ada sahaja urusan yang hendak dilakukannya, lalu keluar rumah atau masuk ke biliknya sendiri.  

Muslimin muslimat sekalian,

Ramai ibu bapa membenarkan anak gadis mereka keluar berdua-duaan dengan teman lelakinya (tanpa pihak ketiga) dalam keadaan tidak dharurat. Mereka tidak sedar atau sengaja tidak mahu menyedarinya, bahawa dengan tindakan itu mereka turut terlibat atau bersyubahat atau secara tidak langsung meluaskan peluang kepada anak gadis mereka menceburkan diri dalam kegiatan budaya taqrabuz-zina, walaupun sebenarnya si ibu dan si bapa itu  tidak mengharapkan anak gadis mereka melakukan perbuatan zina yang sebenarnya itu.  

Ramai yang tidak terfikir atau buat-buat tidak mahu berfikir, kalau belum lagi melakukan zina, mungkin anak gadis mereka melakukan mukadimah zina.  

Kerana jahil dan terlalu terpengaruh kepada amalan budaya sosial Barat yang dikatakan moden, ramai orang menganggap apa yang mereka lakukan itu adalah perkara biasa, sudah menjadi tradisi. Malah, ramai menganggap itulah tindakan yang selari dengan zaman moden sekarang ini.  

Pengaruh budaya Barat dalam bidang sosial ini harus disedari sebagai virus berbahaya yang lebih berbahaya dari HIV atau penyakit demam selsema burung kerana zina dan budaya taqrabuz zina ini merosakkan budaya dan keturunan Islam, sekali gus meruntuhkan kekuatan umat Islam.  

Kaum muslimin,

Sebagai satu imbasan, 2 minggu lalu hari kasih sayang atau valentine day yang jelas tidak ada kena mengena dengan agama Islam turut dirayakan oleh orang Islam. 

Berbagai tempat hiburan bermula dari disko/kelab malam, hotel-hotel, organisasi-organisasi mahupun kelompok-kelompok kecil; berlumba-lumba menawarkan acara untuk merayakan Valentine.  

Antara kesimpulan dari pesta valentine day ini ialah bahawa sambutan ini merupakan salah satu strategi musuh Islam yang berusaha merosak ‘akidah’ muslim dan muslimah sekaligus memperkenalkan gaya hidup barat dengan berlapik, bersolek dan bertopengkan percintaan, perjodohan dan kasih sayang. Bukankah ini termasuk juga budaya taqrabuz zina ? Atau ada yang mengakhiri pesta kekasih dengan berzina bersama pasangan masing-masing. 

Saudara-saudara,

Tujuan mencipta dan mengungkapkan rasa kasih sayang di persada bumi adalah baik. Tetapi bukan seminit untuk sehari dan sehari untuk setahun. Dan bukan pula bererti kita harus berkiblat kepada Valentine seolah-olah meninggikan ajaran lain di atas Islam. Baginda saw diutuskan kepada umatnya dengan memerintahkan manusia untuk berkasih sayang dan menjalinkan persaudaraan yang abadi di bawah naungan Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.  Bukankah Rasulullah SAW bersabda : 

“Tidak sempurna iman salah seorang di antara kamu sehingga ia kasih kepada saudaranya  apa yang ia kasih  kepada diri sendiri”. 

Dalam tahun 1268, seorang raja Perancis pernah mengemukakan saranan: “Adalah suatu yang amat sukar dan hampir mustahil untuk mengalahkan umat Islam melalui peperangan dengan senjata dan kekerasan. Berdasarkan pengalaman yang disokong oleh fakta sejarah sebelumnya, maka yang penting sekarang ialah mengatur langkah lain untuk umat yang degil itu”.  

Antara “langkah lain” itu ialah melancarkan perang psikologi dengan cara  mengumpankan corak hiburan yang membawa kepada amalan pergaulan bebas antara muda-mudi Islam yang boleh diistilahkan sebagai “budaya taqrabuz-zina” itu.  

Hiburan dari Barat itu sengaja dieksport ke negara Islam sebagai satu strategi perang psikologi untuk melemahkan umat Islam. Tanpa kesedaran ini, umat Islam, bukan sahaja tidak peka dengan “umpan” atau matlamat negatif hiburan dari Barat itu, malah mereka menerimanya sebagai hasil seni dan budaya yang mereka iktiraf sebagai “budaya global”. Sebenarnya apa yang disebutkan sebagai “budaya global” itulah yang merupakan “budaya taqrabul-zina”.  

Kaum muslimin,

Tuduhan terhadap musuh Islam dalam hal ini bukan tidak berasas. Yahudi dan  Nasrani memang selamanya mendendami dan memusuhi umat Islam. Allah SWT mengingatkan Rasulullah saw melalui firmanNya : 

“Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali menyukaimu (Hai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka” – (al-Baqarah: 120) 

Perkembangan budaya taqrabuz-zina memang dirancang oleh musuh Islam untuk menghancurkan umat Islam. Inilah yang dikatakan sebagai strategi dalam perang psikologi mereka terhadap umat Islam.  Seorang orientalis pernah berkata, “Gelas minuman keras dan penyanyi perempuan dapat menghancurkan umat Muhammad. Ini lebih berkesan daripada apa yang dapat dilakukan oleh seribu meriam”.  

Kaum muslimin,

Sebagai suatu perbandingan, mari kita imbas 20-30 tahun yang lalu. Ketika itu, kaum perempuan Islam tidak ramai yang menutup aurat atau mengenakan tudung.  

Tetapi sejak tahun-tahun 80an, lebih-lebihan lagi pada awal 90-an, bilangan wanita bertudung semakin ramai. Di mana-mana sahaja kita boleh bersua dengan wanita yang bertudung. Sama ada di kilang, di sekolah, di stesen bas, di pejabat, di universiti malah beberapa pengacara televisyen & radio pun sudah memakai tudung. Alhamdulillah tetapi……. 

Tetapi yang menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak akan ditemui di taman-taman bunga, di tempat-tempat hiburan, berpegangan tangan dengan teman lelaki, di panggung wayang atau kalau dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat make up, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian. 

Saudara-saudara,

Islam bukan sahaja memerlukan kuantiti, tetapi lebih dari itu Islam mahukan kualiti dari penganut Islam yang ramai ini. Renungkan sepotong hadith Rasulullah saw yang bermaksud : 

“..Pelbagai bangsa akan mengerumuni kalian sebagaimana orang-orang rakus mengerumuni makanan.” Seseorang bertanya, “Apakah kerana jumlah kami sedikit pada saat itu?” Rasul SAW menjawab, ” Bahkan kalian pada saat itu sangat ramai. Tetapi, kalian seperti buih di lautan.” (HR Abu Dawud dan Ahmad). 

Demikianlah sedikit peringatan yang diharap akan difikir oleh setiap orang Islam seterusnya melakukan tindakan bagi menangani penyakit taqrabuz zina ini. 

Dibaca pada 24 Febuari 2006 (Masjid Negeri Sabah)

Leave a comment »

Valentine Day

 Kaum muslimin,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah, dengan menilai jati diri muslim dan mu’min yang ada di dalam diri kita. 

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah. Dan hendaklah setiap diri merenung perkara yang akan ditempuhinya esok hari. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pakar dengan apa yang kamu lakukan” (al-Hasyr : 18) 

Saudara-saudara,

Perayaan adalah sesuatu yang mengiringi fitrah kehidupan manusia. Ia adalah hari manusia memecahkan rutin kehidupan dengan melakukan sesuatu yang dikhususkan pada hari berkenaan dengan tujuan yang pelbagai. Kerana itulah, setiap bangsa manusia mempunyai perayaan mereka yang tersendiri. Ia disambut dengan pelbagai cara, dengan sebab, ‘sempena’ dan matlamat yang berbeza-beza. 

Islam sebagai cara hidup fitrah yang telah Allah sempurnakan ciri-ciri dan kemampuannya, turut menggariskan perayaan bagi umatnya. Sebagai umat Islam, perayaan turut menjadi salah satu cabang hidup yang mesti kita tempuhi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. 

Hadith Abu Daud yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anh secara jelas menegaskan bahawa Allah SWT telah memperuntukkan bagi umat Islam dua perayaan bagi menggantikan segala bentuk keraian yang diwarisi dari zaman jahiliah dan sumber yang tidak Islam. Dua perayaan berkenaan adalah Aidilfitri dan Aidiladha. Inilah dua hari yang bukan sahaja menjadi hari perayaan, bahkan Allah SWT menuntut kita agar tidak alpa dari me’raya’kannya. Puasa yang menjadi ibadah yang dipuji Allah, diharamkan pada dua hari berkenaan supaya umat Islam menyambutnya dengan sempurna dan tidak berlebih-lebihan di dalam ibadah sehingga ia ‘disangka taqwa’. 

Akan tetapi, kini, dengan pertemuan Islam bersama bangsa lain, dan nilai iman yang corot, umat Islam mula meniru amalan yang tiada kena mengena dengan agamanya. Apatah lagi di dalam suasana kepelbagaian kaum dan agama seperti dalam masyarakat kita. Perayaan-perayaan bukan Islam seperti Hari Krismas, bukan sahaja dengan sebutan-sebutan mulut malah turut hadir bersama jualan murah di kedai-kedai, promosi besar-besaran di media dan hiasan-hiasan di sepanjang jalan. Semua itu sudah tentu menjadi perang psikologi, sehinggakan mereka yang tidak turut serta, boleh terasa janggal,  dicemuh sebagai ‘anti sosial’ atau apa-apa label yang kurang menyelesakan.  

Saudara-saudara sekalian,

Tidak lama lagi, Hari Valentine atau disebut kini ‘Hari Kasih Sayang’ pula muncul. Anak-anak muda, malah mungkin juga yang sudah ‘out of season’ sedang menanti apakah surprise yang bakal disediakan oleh insan tersayang, menjelang 14 Februari mendatang. 

Kaum muslimin,

Benarkah valentine hanya kasih sayang ? Firman Allah :

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah Al-An’am : 116) 

Hari ‘kasih sayang’ yang dirayakan oleh orang-orang Barat amat popular dan merebak di Malaysia juga. Lebih-lebih lagi apabila menjelangnya bulan Februari di mana banyak kita temui simbol-simbol atau iklan-iklan tidak Islamik hanya wujud demi untuk mempromosi Valentine.  Berbagai tempat hiburan bermula dari disko/kelab malam, hotel-hotel, organisasi-organisasi mahupun kelompok-kelompok kecil; ramai yang berlumba-lumba menawarkan acara untuk merayakan Valentine. Dengan pengaruh media massa seperti surat kabar, internet, radio mahupun televisyen; sebagian besar orang Islam juga turut dihidangkan dengan iklan-iklan Valentine Day.  

Saudara yang dirahmati Allah,

Sungguh merupakan hal yang menyedihkan dan tidak sepatutnya terjadi apabila telinga kita mendengar bahkan kita sendiri ‘terjun’ dalam perayaan Valentine tersebut tanpa mengetahui sejarah Valentine itu sendiri. Valentine sebenarnya adalah seorang individu yang mengorbankan nyawanya kerana kepercayaan agamanya (dalam Islam disebut ‘Syuhada’) yang kerana kesalahan dan bersifat ‘dermawan’ maka dia diberi gelaran Saint atau Santo.  

14 Februari 270 M, St. Valentine dibunuh karena pertentangannya (pertelingkahan) dengan penguasa Romawi pada waktu itu iaitu Raja Claudius II (268 – 270 M). Untuk mengagungkan dia (St. Valentine), yang dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka para pengikutnya memperingati kematian St. Valentine sebagai ‘upacara keagamaan’.  

Tetapi sejak abad 16 M, ‘upacara keagamaan’ tersebut mulai beransur-ansur hilang dan berubah menjadi ‘perayaan bukan keagamaan’. Hari Valentine kemudian dihubungkan dengan pesta jamuan kasih sayang bangsa Romawi kuno yang disebut “Supercalis” yang jatuh pada 15 Februari.  

Setelah orang-orang Romawi itu masuk agama Nasrani (Kristian), pesta ‘supercalis’  kemudian dikaitkan dengan upacara kematian St. Valentine. Penerimaan upacara kematian St. Valentine sebagai ‘hari kasih sayang’ juga dikaitkan dengan kepercayaan orang Eropah bahwa waktu ‘kasih sayang’ itu mulai bersemi ‘bagai burung jantan dan betina’ pada tanggal 14 Februari.  

Dalam bahasa Perancis Normandia, pada abad pertengahan terdapat kata “Galentine” yang bererti ‘galant atau cinta’. Persamaan bunyi antara galentine dan valentine menyebabkan orang berfikir bahawa sebaiknya para pemuda dalam mencari pasangan hidupnya pada tanggal 14 Februari.  

Dengan berkembangnya zaman, St. Valentino mungkin akan terus bergeser jauh pengertiannya (jauh dari erti yang sebenarnya). Manusia pada zaman sekarang tidak lagi mengetahui dengan jelas asal usul hari Valentine. Di mana pada zaman sekarang ini orang mengenal Valentine melalui ‘greeting card’, pesta persaudaraan,  bertukar-tukar memberi hadiah dan sebagainya tanpa ingin mengetahui latar belakang sejarahnya lebih dari 1700 tahun yang lalu.  

Dari sini dapat diambil kesimpulan bahawa waktu ini hanyalah tidak lebih bercorak kepercayaan atau animisme belaka yang berusaha merosak ‘akidah’ muslim dan muslimah sekaligus memperkenalkan gaya hidup barat dengan bertopengkan percintaan, perjodohan dan kasih sayang.  

Menerusi teori atau pendapat lain,  “VALENTINE” adalah nama seorang paderi. Namanya Pedro St. Valentino. 14 Februari 1492 adalah hari kejatuhan Kerajaan Islam Sepanyol. Paderi ini mengumumkan atau mengisytiharkan hari tersebut sebagai hari ‘kasih sayang’ kerana padanya Islam adalah ZALIM!!!  Tumbangnya Kerajaan Islam Sepanyol dirayakan sebagai Hari Valentine.  

Terdapat juga beberapa teori lain yang semuanya menunjukkan bahawa perayaan ini bukan berasal dari agama Islam.   

Saudara sekalian,

Sebagai seorang muslim tanyakanlah pada diri kita sendiri, apakah kita akan mencontohi begitu saja sesuatu yang jelas bukan bersumber dari Islam ? Renungkan firman Allah :  

“Dan janganlah kamu megikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabnya”. (Surah Al-Isra : 36)  

Saudara sekalian,

Dalam masalah Valentine ini perlu difahami secara mendalam terutama dari kaca mata agama kerana kehidupan kita tidak dapat lari atau lepas dari agama (Islam) sebagai pandangan hidup.  

Berdasar teori pertama, Valentine Day adalah suatu perayaan yang berdasarkan kepada pesta jamuan ‘supercalis’ bangsa Romawi kuno di mana setelah mereka masuk Agama Nasrani (kristian) maka berubah menjadi ‘acara keagamaan’ yang dikaitkan dengan kematian St. Valentine.  

Dari segi sumbernya , Valentine jelas-jelas bukan bersumber dari Islam, melainkan bersumber dari rekaan fikiran manusia yang diteruskan oleh pihak gereja. Oleh kerana itulah, jika berpegang kepada akal rasional manusia semata-mata, tetapi tidak berdasarkan kepada Islam (Allah), maka ia akan tertolak. Firman Allah swt dalam Surah Al Baqarah ayat 120 :   

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan  mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.  

Saudara sekalian,

Tujuan mencipta dan mengungkapkan rasa kasih sayang di persada bumi adalah baik. Tetapi bukan seminit untuk sehari dan sehari untuk setahun. Dan bukan pula bererti kita harus berkiblat kepada Valentine seolah-olah meninggikan ajaran lain di atas Islam. Islam diutuskan kepada umatnya dengan memerintahkan umatnya untuk berkasih sayang dan menjalinkan persaudaraan yang abadi di bawah naungan Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.  Bahkan Rasulullah SAW bersabda (bermaksud) :

“Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga ia cinta kepada saudaranya seperti cintanya  kepada diri sendiri”. 

Kaum muslimin,  

Apapun alasannya, kita tidak dapat menerima kebudayaan import yang nyata-nyata bertentangan dengan keyakinan (akidah) kita. Janganlah kita mengotori akidah kita dengan dalih toleransi dan setia kawan. Karena kalau dikata toleransi, Islamlah yang paling toleransi di dunia.  

Sudah berapa jauhkah kita mengayunkan langkah memuja-muja Valentine Day ? Semestinya  sejak saat ini agar jangan sampai terperosok lebih jauh lagi. Tidak perlu kita irihati dan cemburu dengan upacara dan bentuk kasih sayang agama lain. Bukankah Allah itu Ar Rahman dan Ar Rohim??  Bukan hanya sehari untuk setahun. Dan bukan pula dibungkus dengan hawa nafsu. Tetapi yang jelas kasih sayang di dalam Islam lebih luas dari semua itu. Bahkan Islam itu merupakan ‘alternatif’ terakhir setelah manusia gagal dengan sistem-sistem lain.  

Lihatlah kebangkitan Islam!!! Lihatlah kerosakan-kerosakan yang ditampilkan oleh peradaban Barat baik dalam media massa, televisyen dan sebagainya. Karena sebenarnya Barat hanya mengenali perkara atau urusan yang bersifat material. Hati mereka kosong dan mereka bagaikan ‘robot’ yang bernyawa.  

Saudara-saudara, kaum muslimin sekalian,

Jika benar kita mahu membuktikan kasih sayang, maka buktikanlah ia menerusi cara Islam yang halal, indah, penuh barakah dan tiada kesan sampingan. Tanpa perlu menunggu 14 Februari, berkahwin adalah Sunnah Nabi SAW, yang jika kita serius ke arah itu, susunkanlah agenda hidup ke arahnya dengan baik. Usahlah dibazirkan wang untuk membeli bunga ros, kad-kad ucapan, atau candle light dinner di restoran-restoran mahal, kerana semua itu adalah keindahan yang menjadi pagar-pagar kemurkaan dan neraka Allah SWT.  

Kumpulkan wang dengan baik, beli buku yang mengajar cara hidup rumah tangga Islam dan laluilah 14 Februari ini seperti kita melalui hari-hari yang lain, iaitu dengan mengulangkaji pelajaran, menghadiri majlis-majlis ilmu, beribadah dan berlumba-lumba mengejar kebaikan.  

Dibaca pada :10 Feb 2006 (Pusat Islam Politeknik, Kota Kinabalu) 

Leave a comment »

Muqaddimah

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh,

Blog ini saya khususkan untuk menyimpan koleksi-koleksi khutbah yang pernah saya baca di mimbar-mimbar masjid di Sabah. Asalnya adalah permintaan beberapa sahabat, dan mereka mengatakan sangat rugi jika hanya saya ‘menyelesaikan’ khutbah tersebut di satu masjid tanpa menyebarkan pula kepada orang lain. Mulanya saya berikan satu salinan untuk diperbanyak dan edar di kalangan kawan-kawan yang berminat.

Sebenarnya, di kalangan sahabat-sahabat, kami selalu bertukar teks untuk dibaca di masjid yang kami ditugaskan untuk berkhutbah. Dengan koleksi khutbah di blog ini, semoga pasarannya lebih luas.

Teks yang saya simpan di blog ini, sebenarnya hasil rujukan-rujukan daripada pelbagai bahan yang dibaca daripada kitab-kitab dan risalah-risalah; kuliah, khutbah dan ceramah yang saya dengar dan pelajari daripada pelbagai tuan guru sama ada di masjid, surau atau melalui internet. Juga hasil-hasil perbincangan daripada sahabat-sahabat seperjuangan dalam dakwah.

Sesetengahnya adalah khutbah asal milik khatib-khatib lain yang saya ambil dari pelbagai sumber (buku, internet dan teks) dan saya baca semula di mimbar masjid dengan sedikit perubahan tanpa menjejaskan maksud isi asal. (Mohon maaf kepada empunya teks kerana tidak mohon izin secara rasmi, harap dibenarkan atas tujuan dakwah).

Selain itu, ada di antara teks ini saya catatkan tarikh dan tempat saya berkhutbah dan ada yang tidak dicatatkan tempatnya akibat kelemahan tertentu.

Atas beberapa masalah teknikal, saya hanya memasukkan isi khutbah dan meninggalkan beberapa asas-asas rukun yang perlu ditulis dalam bahasa Arab. Begitu juga ayat-ayat al-Quran dan hadith Nabi SAW hanya saya bawakan maksudnya sahaja. Saya berharap sahabat-sahabat yang ingin menyalin bahan-bahan di sini dapat ambil maklum terhadap hal ini.

Harapan saya, semoga koleksi teks khutbah ini dapat dimanfaatkan sewajarnya dan dipanjangkan kebaikannya. Semoga ada pahala untuk para ulama’ dan khatib yang telah meninggalkan bahan-bahan berharga serta menyampaikan khutbah mereka ini. Mohon maaf jika ada kesilapan. Terima kasih atas idea sahabat-sahabat dalam penyusunan isi-isi khutbah. Dengan rendah diri, saya persembahkan.

Abu Nuha. Dari atas bukit, Bandaraya Kota Kinabalu.

Leave a comment »

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.